TENOM: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan bantuan sekali beri (one-off) dalam bentuk bekalan makanan ternakan kepada penternak babi berskala kecil di Sabah bagi membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengeluaran tempatan ketika harga sinalau bakas kini mencecah kira-kira RM47 sekilogram.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan itu akan diberikan kepada penternak yang memelihara 50 ekor babi dan ke bawah.
Beliau berkata, langkah berkenaan diambil selepas kerajaan mendapati industri penternakan babi sebelum ini kurang menerima perhatian berbanding sektor ternakan lain yang turut menikmati pelbagai bentuk bantuan kerajaan.
“Sebelum ini tidak pernah kita memberi bantuan kepada penternak babi kecil-kecilan. Kita membantu penternak lembu, kambing, ayam dan pengusaha perikanan, tetapi industri ini terlepas pandang,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah telah diarahkan menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan bantuan tersebut dalam tempoh terdekat.
“Kita akan berusaha supaya penternak babi berskala kecil turut menerima bantuan kerajaan dalam bentuk makanan ternakan bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran mereka,” katanya.
Jamawi berkata, bantuan itu penting bagi memastikan bekalan daging babi tempatan terus mencukupi selain membantu menstabilkan harga produk berasaskan babi di pasaran.
“Kita tahu sekarang ramai pengguna mengeluh kerana harga sinalau bakas sudah mencecah sekitar RM47 sekilogram. Sebab itu kita perlu membantu meningkatkan pengeluaran tempatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, kenaikan harga produk berasaskan babi turut dipengaruhi oleh kekurangan bekalan selepas kawalan pemburuan babi liar dilaksanakan sejak dua tahun lalu berikutan ancaman penyakit haiwan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri masih mengekalkan larangan pemburuan babi liar bagi memastikan populasi haiwan itu kembali pulih dan terkawal.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan turut membenarkan enam syarikat mengimport daging babi dari luar negara bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Antara negara sumber import ialah Denmark dan Norway. Setiap syarikat dibenarkan membawa masuk dua kontena dan secara keseluruhannya kira-kira 10 kontena akan masuk setiap bulan untuk menampung keperluan pasaran,” katanya.
Bagaimanapun, Jamawi menegaskan kerajaan kekal komited untuk memperkukuh industri penternakan babi tempatan melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pengusaha.
“Kita mahu industri ternakan tempatan terus berkembang dan mampu memenuhi permintaan pasaran. Pada masa sama, penternak kecil juga perlu diberi peluang dan bantuan untuk meningkatkan pengeluaran mereka,” katanya.

