Site icon TUHAU BAMBANGAN

MCMC perkenal peraturan baharu, media sosial hanya untuk 16 tahun ke atas

PUTRAJAYA: Pengguna berumur bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform media sosial berlesen seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube susulan penguatkuasaan peraturan baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula hari ini.

Langkah itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan pengesahan umur pengguna dan memastikan hanya individu berumur 16 tahun ke atas dibenarkan membuka akaun baharu serta mengakses ciri-ciri perkhidmatan yang sesuai dengan umur mereka.

Menurut MCMC, pengesahan umur hendaklah dibuat menggunakan rekod yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf oleh pihak berkuasa kompeten luar negara.

Bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan oleh penyedia platform media sosial terbabit.

Pengguna yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberikan tempoh selama satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh platform berkenaan.

MCMC menjelaskan CPC mewajibkan syarikat media sosial melaksanakan pendekatan safety by design atau keselamatan dalam reka bentuk, selain menyediakan perlindungan yang lebih sesuai mengikut umur bagi pengguna kanak-kanak.

Pada masa sama, RMC mewajibkan penyedia perkhidmatan mengambil langkah perlindungan secara proaktif termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.

MCMC turut menggesa semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen mematuhi sepenuhnya kewajipan yang ditetapkan di bawah CPC dan ONSA, termasuk melaksanakan mekanisme pengesahan umur yang berkesan dalam tempoh yang ditetapkan.

“MCMC memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu berkata ia akan terus bekerjasama dengan pemain industri, pihak berkepentingan dan masyarakat bagi memastikan ruang dalam talian di Malaysia menjadi lebih selamat, bertanggungjawab dan mesra kanak-kanak.

Exit mobile version