Site icon TUHAU BAMBANGAN

RM1.5 bilion: Rundingan perlu kesabaran & hormat dua pihak, bukan konfrontasi berlebihan – Nizam

KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion membuktikan bahawa pendekatan rundingan yang diamalkan Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memperjuangkan hak negeri mampu menghasilkan keputusan yang nyata tanpa perlu melalui konfrontasi politik yang berlebihan.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan bahawa hubungan kerja yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berjaya membuka ruang penyelesaian dalam isu pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah.

Menurut beliau, proses menuntut dan memuktamadkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk hak 40 peratus, bukan perkara yang mudah kerana melibatkan pelbagai aspek perundangan, fiskal dan pentadbiran.

“Rundingan memerlukan kesabaran, ketelitian dan rasa hormat antara kedua-dua pihak. Kita tidak boleh memilih jalan yang berkonfrontasi secara berlebihan atau membakar sentimen rakyat, tetapi akhirnya tidak membawa apa-apa hasil konkrit kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama GRS, adalah untuk terus tegas mempertahankan hak Sabah sambil mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan rundingan terus berjalan, ruang penyelesaian dibuka dan hasil interim yang lebih besar diperoleh sementara formula muktamad pelaksanaan hak 40 peratus dimuktamadkan.

“Peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion ini bukan penyelesaian akhir, tetapi ia adalah satu perkembangan penting. Bayaran ini menunjukkan bahawa tuntutan Sabah terus didengar, dipertimbangkan dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Nizam berkata, peningkatan pembayaran interim itu juga menolak dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak memperjuangkan hak-hak Sabah.

Menurutnya, perjuangan hak Sabah tidak seharusnya diukur berdasarkan retorik politik atau kenyataan beremosi di media sosial semata-mata, sebaliknya melalui hasil yang berjaya dibawa pulang untuk manfaat rakyat dan negeri.

Beliau turut mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme dan kaedah pelaksanaannya.

“Ini adalah perkembangan yang amat penting dalam sejarah perjuangan MA63. Kerajaan Negeri tidak pernah berdiam diri. Rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun rakyat Sabah mengharapkan penyelesaian yang segera, kerajaan perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri.

Sehubungan itu, katanya, PGRS akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus secara segera, telus dan adil selaras dengan semangat MA63.

“Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih oleh GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil. Inilah politik matang yang diperlukan Sabah, politik yang bukan sekadar lantang, tetapi berkesan,” katanya.

Exit mobile version