Site icon TUHAU BAMBANGAN

9 jam, 3 bahasa – Adam Shamil cipta sejarah solo kemudi pentas RTK 2026

PENAMPANG: Pengacara majlis kelahiran Sabah, Adam Shamil, berjaya mengendalikan pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026 secara solo selama hampir sembilan jam dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Kadazandusun dan Bahasa Inggeris, sekali gus mencuri perhatian penonton sepanjang acara berprestij itu berlangsung di Hongkod Koisaan KDCA, Rabu lalu.

Adam yang juga merupakan pempengaruh dan juga seorang usahawan berkata, beliau mahu membawa pendekatan yang berbeza dalam mengendalikan RTK dengan menjadikan pertandingan itu lebih daripada sekadar acara pentas biasa, sebaliknya sebagai satu pengalaman yang mampu menghiburkan dan meninggalkan kenangan kepada penonton.

Menurutnya, RTK tidak seharusnya dilihat sebagai pertandingan yang hanya menarik perhatian ketika pengumuman keputusan, sebaliknya perlu terus hidup dengan pengisian yang mampu mengekalkan minat penonton sepanjang program berlangsung.

“Sejujurnya, saya tidak pernah mahu Randawi Tavantang Kaamatan dilihat hanya sebagai satu pertandingan pentas yang orang datang, menonton dan kemudian pulang begitu sahaja.

“Saya tidak mahu situasi di mana penonton hanya kembali ketika pengumuman keputusan akhir kerana sepanjang program berlangsung ia tidak cukup menarik atau sukar diingati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, bagi sebuah program yang berlangsung hampir sembilan jam, seorang pengacara perlu memainkan peranan lebih besar daripada sekadar membuat pengumuman atau mengendalikan peralihan acara.

“Penonton berhak mendapat lebih daripada sekadar pengumuman dan transisi acara. Mereka berhak menikmati pengalaman yang membuatkan mereka ketawa, bersorak, berasa terhubung dan benar-benar menikmati setiap detik sepanjang berada di sini.

“Apabila saya diberikan mandat sekali lagi untuk mengacarakan RTK tahun ini, saya berkata kepada diri sendiri, saya perlu merevolusikan cara pertandingan seperti ini dikendalikan,” katanya.

Adam turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa RTK Peringkat Negeri Sabah kerana terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengendalikan pertandingan berkenaan.

Dalam satu lagi perkongsian di Facebook pada Jumaat, Adam yang mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan sejak berusia 16 tahun berkata, pengalaman lebih sedekad mengajarnya bahawa kemampuan menghiburkan penonton perlu diseimbangkan dengan profesionalisme dan rasa hormat terhadap peserta.

Beliau merujuk kepada satu insiden ketika pertandingan berkenaan apabila seorang peserta berdepan kesukaran menjawab soalan sehingga mencetuskan gelak ketawa dalam kalangan penonton.

“Saya mula menjadi pengacara ketika berusia 16 tahun. Jika ada satu perkara yang saya pelajari sepanjang lebih sedekad pengalaman ini, kita boleh bergurau dan menghiburkan penonton, tetapi kita juga perlu tahu bila masanya untuk mengawal keadaan dengan penuh profesionalisme.

“Ketika salah seorang peserta bergelut menjawab soalan, saya mengingatkan diri bahawa berdiri di atas pentas itu sendiri memerlukan keberanian. Jadi saya cuba mengendalikan situasi itu dengan penuh hormat tanpa menambah tekanan kepada peserta,” katanya.

Menurut beliau, pertandingan mungkin berakhir, namun pengalaman yang dikongsi bersama di atas pentas akan terus menjadi kenangan kepada peserta dan penonton.

“Pada penghujung hari, pertandingan datang dan pergi, tetapi pengalaman yang kita kongsi bersama di atas pentas itulah yang akan diingati ramai.

“Saya menghormati peserta tersebut kerana bukan semua orang mempunyai keberanian untuk berdiri di hadapan khalayak ramai,” katanya.

Exit mobile version