Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jatuh sungai ketika tarik pasir, lelaki Indonesia ditemui tidak bernyawa di Kota Belud

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka, Kuala Abai, ditemui tidak bernyawa dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua, hari ini.

Mangsa, Vinsensius Sare Tukan, 42 tahun, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 11.20 pagi di lokasi kejadian pada kedalaman kira-kira lapan meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk, berkata operasi SAR disambung semula pada jam 8 pagi dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat bagi mengesan mangsa di lokasi terakhir beliau dipercayai terjatuh.

“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian menggunakan kaedah water surface search and rescue di kawasan persisiran sungai serta sekitar lokasi mangsa dilaporkan jatuh. Pasukan pencarian turut dibahagikan kepada enam kumpulan bagi memperluaskan kawasan operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, bomba turut memasang pukat pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hingga ke muara Sungai Kuala Abai bagi membantu usaha mengesan mangsa.

Katanya, Unit PPDA memulakan operasi selaman pada jam 10.50 pagi sebelum berjaya menemui mangsa kira-kira 30 minit kemudian di lokasi yang sama mangsa dipercayai terjatuh.

“Mayat mangsa berjaya ditemui pada kedalaman kira-kira lapan meter sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Terdahulu, BBP Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 malam semalam memaklumkan seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam sungai sekitar jam 6 petang ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik.

Operasi SAR melibatkan anggota BBP Kota Belud dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit PPDA Zon Kudat dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Exit mobile version