KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan mengalami kecederaan termasuk lebam pada kedua-dua bahu, kaki dan telinga kiri selepas dipercayai dipukul sekumpulan pelajar dalam satu kejadian yang videonya tular di media sosial, menyebabkan tujuh pelajar sekolah menengah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot bin Syed Ab Rahman berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam susulan siasatan terhadap rakaman kejadian yang mencetuskan perhatian ramai sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun.
“Semua pelajar berkenaan ditahan kira-kira jam 3 petang tadi melibatkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun. Pelajar lelaki tersebut dipercayai bertindak sebagai individu yang merakam keseluruhan kejadian sebelum video berkenaan tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Syed Lot berkata, pihak polis memulakan siasatan selepas menerima laporan yang dibuat sendiri oleh mangsa sehari selepas kejadian berlaku.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan turut mendapati semua pelajar yang terlibat dipercayai saling mengenali antara satu sama lain dan berhubung melalui satu kumpulan aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai “Angel”.
“Kesemua pelajar yang ditahan telah diberikan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan,” katanya.
Polis kini meneruskan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

