Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pengalaman Pentas Antarabangsa bawa Dyeneley julang RTK Sabah 2026

Screenshot

KOTA KINABALU: Pengalaman luas di pentas seni antarabangsa menjadi kelebihan utama buat wakil Nabawan, Totu Dyeneley Daud, 19, apabila berjaya dinobatkan sebagai Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026 pada pertandingan akhir semalam sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.

Dyeneley yang juga penuntut Maktab Perguruan Sabah turut mencipta kemenangan berganda apabila meraih dua anugerah subsidiari utama iaitu Mister Intelligent dan Best Stage Performance hasil persembahan bertenaga, karisma pentas serta kebolehan intelektual yang menyerlah sepanjang pertandingan berlangsung.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan Nabawan sebagai antara daerah paling menonjol dalam edisi RTK tahun ini.

Tempat kedua dimenangi Totu Bryan Niccolson Jacob dari Keningau, manakala tempat ketiga menjadi milik Totu Daniel Chrionie Taning dari Tamparuli.

Turut melengkapkan senarai Top 7 RTK Negeri Sabah 2026 ialah Totu Hassander Jaid (Kiulu) di tempat keempat, Totu Kristern Olwen Jafili (Tuaran) di tempat kelima, Totu Ian Steeve Dee Moses (Likas) di tempat keenam dan Totu Hadwanielly Allan (Ranau) di tempat ketujuh.

Dyeneley bukan nama asing dalam dunia seni persembahan apabila pernah mencipta kejayaan di World Dance Festival Seoul, Korea menerusi kemenangan Gold Solo, Gold Duo dan Silver Grouping.

Beliau turut menyerlah dalam Dance World Cup Malaysia Qualifier 2023 dan 2026 apabila memenangi kategori Gold Solo dan Gold Duo Kontemporari selain menerima pengiktirafan Best Solo Award Senior Category yang melayakkan beliau mewakili Malaysia ke Dublin.

Selain aktif dalam pertandingan seni budaya termasuk Festival of Colour of the World 2023, Borneo Art Festival 2025 dan World Arts Performance 2023, Dyeneley turut mencipta nama dalam pertandingan tarian kreatif Kaamatan daerah Keningau dengan muncul johan serta penari terbaik lelaki.

Beliau juga pernah berperanan sebagai koreografer program KDCA International Student Cultural Exchange Programme (ICSEP) selain mencatat pencapaian dalam pertandingan Rentak, Pesta Tari dan Sabah Got Talent anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.

Dalam bidang akademik, Dyeneley turut menerima pengiktirafan seperti Anugerah Ikon Tari Terbaik 2025, Anugerah Terbaik Mata Pelajaran Tari dan Pelajar Harapan Tari Terbaik 2023 selain memperoleh keputusan cemerlang 4A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek tari.

Sementara itu, anugerah subsidiari Social Media Favourite dimenangi Totu Elvince Erick dari Kuala Penyu, manakala Mister Exemplary menjadi milik Totu Oliver Robert J. Lojikim mewakili KDCA Sarawak.

Bagi kategori Most Inspirational Manifesto, kemenangan berpihak kepada Ag Thana Bin Ag Taaufick dari KDCA Johor.

Dalam kategori Audience Choice pula, tempat pertama diraih Totu Ryan Asriel Kario dari Tungku, diikuti Totu Clement Simeon Linus dari Sandakan di tempat kedua dan Totu Elvince Erick dari Kuala Penyu di tempat ketiga.

Pertandingan RTK merupakan antara acara utama sempena sambutan Pesta Kaamatan yang mengetengahkan warisan budaya, kepimpinan belia serta bakat seni generasi muda Kadazandusun, Murut dan Rungus di Sabah.

Exit mobile version