Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tular belalai Gajah Borneo cedera & hampir putus di Felda Kalabakan

KOTA KINABALU: Seekor gajah Borneo dipercayai mengalami kecederaan serius apabila belalainya hampir putus dalam kejadian di kawasan Felda Kalabakan Selatan, Tawau, yang kini sedang dipantau rapat oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Kes berkenaan mendapat perhatian selepas tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan keadaan gajah tersebut dengan kecederaan jelas pada bahagian belalai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihak berkuasa menerima aduan berkaitan haiwan itu minggu lalu sebelum operasi pencarian dan pemantauan dijalankan pada 13 dan 14 Mei lalu.

“Bagaimanapun, gajah tersebut gagal ditemui sepanjang operasi dijalankan dan usaha menyelamat tidak dapat dilaksanakan pada peringkat itu.

“Tindakan lanjut akan bergantung kepada maklumat baharu, penemuan terkini atau laporan tambahan yang diterima dari lapangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, maklum balas awal daripada pasukan veterinar mendapati kecederaan melibatkan belalai merupakan kes yang sangat kompleks dan sukar untuk dipulihkan sepenuhnya.

Katanya, sekiranya prosedur pembinaan semula atau penyambungan semula dilakukan, peluang untuk mengembalikan fungsi normal belalai adalah amat rendah.

“Usaha menyelamat bukan hanya melibatkan rawatan luka segera semata-mata. Bergantung kepada keadaan gajah tersebut, intervensi mungkin memerlukan pembedahan membuang tisu rosak atau membina semula otot belalai yang koyak.

“Ia juga memerlukan penjagaan intensif selepas pembedahan, rawatan harian, pengurusan pemakanan, penempatan sementara serta pemantauan berterusan selama satu hingga dua minggu,” katanya.

Jafry berkata, pemerhatian awal mendapati luka pada belalai haiwan itu menunjukkan sedikit tanda penyembuhan walaupun proses penutupan luka tidak berlaku dengan sempurna.

“Setakat ini, keadaan gajah tersebut belum menunjukkan tanda jangkitan serius yang boleh mengancam nyawanya secara langsung.

“Oleh itu, campur tangan veterinar belum diperlukan ketika ini, namun langkah rawatan akan diaktifkan sekiranya keadaan bertambah buruk atau timbul komplikasi lanjut,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kecederaan masih dalam siasatan dan pihak berkuasa sedang meneliti beberapa kemungkinan termasuk kecederaan akibat jerat atau objek tajam.

Katanya, antara kemungkinan yang sedang disiasat ialah kecederaan akibat terkena peralatan penuaian yang digunakan di ladang kelapa sawit dan ditinggalkan di kawasan ladang.

“Saya ingin menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan dan penilaian di lapangan masih dijalankan.

“Gajah Borneo merupakan antara spesies hidupan liar paling ikonik di Sabah dan sebahagian penting daripada warisan alam sekitar negeri ini,” katanya.

Exit mobile version