KENINGAU: Kehadiran dua presiden parti politik utama Sabah pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Keningau 2026 mencuri perhatian ramai apabila Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Shafie Apdal dilihat bersalaman serta beramah mesra dalam suasana penuh harmoni.
Momen kedua-dua pemimpin itu yang dilihat mesra sempena sambutan pesta budaya terbesar masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) berkenaan turut menjadi perhatian pengunjung dan pemerhati politik negeri.
Menerusi hantaran di media sosialnya pada Ahad, Shafie yang juga bekas Ketua Menteri berkata, beliau menghargai jemputan Jeffrey untuk menghadiri Sambutan Kaamatan di Keningau.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan atas jemputan ke Sambutan Kaamatan di Keningau hari ini.
“Kaamatan sentiasa menjadi ruang untuk rakyat berkumpul, bertemu sahabat lama serta meraikan budaya dan tradisi yang menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sambutan itu berlangsung dalam suasana mesra dan meriah.
“Suasana yang cukup mesra dan meriah. Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan,” katanya.
Majlis berkenaan sekali lagi memperlihatkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Sabah yang diraikan melalui sambutan Kaamatan tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan latar belakang.

