Site icon TUHAU BAMBANGAN

Resort sekitar Semporna dikompaun RM10,000 & lelaki simpan haiwan eksotik ditahan

SEMPORNA: Sebanyak 15 kompaun bernilai keseluruhan RM10,000 dikeluarkan terhadap beberapa resort di sekitar daerah ini dalam Operasi Bersepadu (OB) dijalankan Polis Diraja Malaysia bersama Majlis Daerah Semporna, manakala seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki memiliki haiwan eksotik serta daging hidupan liar tanpa kebenaran.

Operasi yang dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bersama Majlis Daerah Semporna itu dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan premis terhadap syarat pelesenan, pengoperasian serta penguatkuasaan undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Semporna, Tan Hiap Wah berkata, sebanyak enam premis resort di daratan sekitar Semporna diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan berkaitan pelesenan dan pengoperasian premis telah dikesan, manakala pihak Majlis Daerah Semporna mengeluarkan sebanyak 15 kompaun melibatkan nilai keseluruhan RM10,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, dalam operasi sama pihak polis turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun kerana disyaki memiliki beberapa haiwan eksotik serta daging hidupan liar tanpa kebenaran yang sah.

Katanya, tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tambah beliau, kerjasama antara polis, MDS dan Jabatan Hidupan Liar akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan kelestarian kawasan.

Seramai 29 pegawai dan anggota daripada IPD Semporna serta MDS terlibat dalam operasi berkenaan.

Exit mobile version