Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kanak-kanak 11 tahun lemas ketika cari ikan di Sungai Rampayan

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mencari ikan di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Menggatal, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa dikenali sebagai Akil Hamizan Ahmad dikatakan pergi ke sungai bersama sembilan rakannya dari kawasan sama untuk mencari ikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa bersama seorang rakannya dipercayai tersasar sebelum dibawa arus sungai.

“Rakan-rakan mangsa segera meminta bantuan orang ramai yang berada berdekatan sebelum anggota Balai Polis Menggatal yang menerima maklumat awal terus bergerak ke lokasi kejadian.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Lintas kemudian tiba di lokasi sekitar jam 4 petang dan berjaya menemukan mangsa pada jam 4.17 petang sebelum bantuan CPR diberikan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Likas menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, doktor Hospital Likas mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 5.46 petang.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang menimpa dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di kawasan sungai atau perairan.

“Kejadian ini juga menjadi peringatan kepada ibu bapa agar sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak bagi mengelakkan risiko lemas terutama di kawasan sungai yang arusnya boleh berubah secara tiba-tiba,” katanya.

Kasim berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Exit mobile version