KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini susulan kebimbangan terhadap kemungkinan penghakisan kuasa autonomi imigresen serta hak istimewa Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu-isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS termasuk aspek perundangan dan pengoperasian imigresen yang dilihat boleh menjejaskan kuasa Pihak Berkuasa Negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan AKPS di Sabah akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk negeri, namun Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung terhadap agensi berkenaan.
“Pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS, tetapi hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut mengesan wujud percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang berpotensi menjejaskan kelancaran serta kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Sabah.
Beliau menegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana ia merupakan antara asas penting dalam pembentukan Malaysia melalui MA63.
“Perlu ditegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable),” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan AKPS sehingga memperoleh persetujuan bahawa tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perlindungan kedudukan Sabah dari segi perlembagaan terus terpelihara.

