Site icon TUHAU BAMBANGAN

Labuan dilanda puting beliung, warga emas cedera, 33 rumah rosak

LABUAN: Seorang warga emas cedera manakala 33 rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut dipercayai puting beliung yang melanda kawasan perumahan MPL, Tanjung Aru di Labuan malam tadi.

Menurut laporan Bernama, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa Wong Kwet Kiong, 64, mengalami kecederaan di kepala selepas terkena objek yang diterbangkan angin sebelum dihantar ke Hospital Labuan untuk mendapatkan rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.12 malam sebelum mengerahkan sebuah jentera bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi, kawasan perumahan itu dalam keadaan gelap kerana gangguan bekalan elektrik. Beberapa jalan turut terhalang akibat dipenuhi serpihan dan objek tumbang.

“Jumlah sebenar penduduk yang terjejas masih disiasat kerana ramai telah berpindah sementara ke rumah saudara-mara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba menumpukan operasi membersihkan jalan dan mengalihkan objek berselerakan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat digunakan penduduk serta memudahkan laluan pasukan kecemasan.

Menurutnya, beberapa kenderaan turut rosak selepas dihempap objek diterbangkan angin selain beberapa pokok besar di kawasan sekitar tumbang akibat angin kencang.

Sementara itu, seorang penduduk, Azahar Aziz, 36, berkata ketika kejadian dia berada di rumah bersama ibu bapa dan adik-beradiknya sebelum ribut kuat melanda kawasan tersebut.

Exit mobile version