Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPRM Sabah tahan 3 pembantu Penguat Kuasa disyaki terima rasuah RM10,000 lindungi kesalahan lori

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga pembantu penguat kuasa disyaki menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan melindungi sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan daripada tindakan terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan lori syarikat berkenaan.

Ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang dan 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.

“Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai secara bulanan sebanyak RM500 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga.

“Rasuah itu dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori sebuah syarikat yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Exit mobile version