Site icon TUHAU BAMBANGAN

TMP Tengku Hassanal berjaya ‘tawan’ puncak Gunung Kinabalu, manifestasi komitmen dekati rakyat

KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dari aras laut sempena Ekspedisi Mahkota Borneo hari ini.

Menurut kenyataan Kesultanan Pahang, baginda tiba di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu sekitar jam 8.30 pagi selepas memulakan pendakian dari checkpoint Panalaban pada jam 2.30 pagi dalam keadaan cuaca baik dan penuh semangat.

Laporan media turut memaklumkan pendakian bermula semalam kira-kira jam 8 pagi melalui laluan Timpohon sebelum baginda selamat tiba di Panalaban pada jam 3.45 petang.

Ekspedisi pendakian tersebut didahului dengan bacaan doa selamat yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Bungsu Aziz Jaafar bagi memohon keselamatan dan kelancaran perjalanan Tengku Hassanal serta rombongan.

Kejayaan itu disifatkan mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin dan kecekalan tinggi Tengku Hassanal dalam menjayakan misi ekspedisi berkenaan.

Ekspedisi Mahkota Borneo turut dilihat sebagai simbol keberanian, perpaduan dan semangat cintakan alam semula jadi selain menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Dalam kenyataan sama, Kesultanan Pahang memaklumkan pendakian itu juga menjadi manifestasi komitmen Tengku Hassanal dalam mendekati rakyat dan menyantuni komuniti setempat sepanjang program ekspedisi berlangsung.

Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan Tengku Hassanal mengetuai rombongan pendakian disertai pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Exit mobile version