KOTA KINABALU: Cuaca panas, peningkatan penggunaan elektrik serta semakan cagaran tambahan dikenal pasti antara faktor utama yang menyebabkan bil elektrik pengguna meningkat kebelakangan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd., Datuk Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
Beliau berkata, pihaknya memahami kebimbangan dan sentimen pengguna berhubung isu kenaikan bil elektrik yang kini tular di media sosial, termasuk berkaitan cagaran tambahan, tunggakan bil dan tindakan penguatkuasaan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM).
Menurutnya, peningkatan bil elektrik kebelakangan ini banyak dipengaruhi penggunaan semasa khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, keadaan cuaca panas serta penggunaan berterusan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk tambahan.
“Pengguna disarankan untuk memantau penggunaan elektrik secara berkala dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal jumlah bil bulanan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Yaakob berkata, cagaran tambahan pula merujuk kepada bayaran deposit tambahan yang dikenakan kepada pengguna berdasarkan peningkatan penggunaan semasa atau rekod pembayaran tertentu sebagai jaminan memastikan bayaran bil dibuat secara teratur.
Katanya, semakan cagaran tambahan itu dilaksanakan secara berkala setiap enam bulan selaras dengan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024 serta Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Semakan berkala ini membantu memastikan akaun pengguna mempunyai jaminan mencukupi sekiranya berlaku peningkatan penggunaan elektrik atau tunggakan bayaran, sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan kestabilan sistem bekalan elektrik secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pengguna menggunakan aplikasi mySE+ bagi menyemak bil, merekod penggunaan serta mendapatkan maklumat berkaitan akaun elektrik dengan lebih mudah dan pantas.
Selain itu, katanya, pengguna juga boleh mendapatkan khidmat nasihat di semua 23 pejabat kawasan Sabah Electricity bagi menyemak meter elektrik dan penggunaan tenaga di premis masing-masing.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata hasil kutipan bayaran bil amat penting bagi memastikan operasi sistem bekalan elektrik dapat diteruskan secara mampan termasuk kerja penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur dan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya membuat semakan bil secara berkala dan memastikan pembayaran dibuat mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelakkan tunggakan dibawa ke bil seterusnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan Sabah Electricity memandang serius kes usikan pepasangan meter termasuk penyambungan haram, pengusikan meter dan kegiatan mencuri elektrik kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mengundang risiko keselamatan seperti kebakaran dan renjatan elektrik.
“Sabah Electricity akan terus komited memperkukuh komunikasi bersama pengguna serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan ditangani secara profesional, telus dan berintegriti demi kepentingan bersama,” katanya.

