Site icon TUHAU BAMBANGAN

Masidi kini Timbalan Pengerusi GRS, Armizan ambil alih Setiausaha Agung

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun dilantik sebagai salah seorang daripada lima Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan rombakan kepimpinan gabungan itu selepas pengunduran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Memetik laporan Free Malaysia Today, jawatan tersebut sebelum ini disandang Presiden Usno, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Empat lagi Timbalan Pengerusi GRS yang kekal ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah; serta Presiden Liberal Democratic Party, Chin Su Phin.

Dalam rombakan sama, jawatan Setiausaha Agung GRS yang sebelum ini disandang Masidi kini diambil alih Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung gabungan itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai dilantik semula sebagai Ketua Penerangan GRS.

GRS turut memperkenalkan dua muka baharu dalam barisan kepimpinan tertinggi apabila pemimpin PBS, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Bendahari Agung GRS menggantikan Ardino Diris.

Lo yang juga Ahli Parlimen Tawau dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan turut memegang jawatan Timbalan Bendahari Agung PBS.

Seorang lagi muka baharu ialah Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Razi yang mengambil alih jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS daripada Armizan.

Rombakan itu dilihat sebagai langkah memperkukuh struktur kepimpinan GRS selepas perubahan dalam komposisi gabungan berkenaan susulan pengunduran Usno.

Exit mobile version