Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah bakal terima lebih banyak inisiatif belia & sukan dari Persekutuan

KOTA KINABALU: Sabah bakal menerima lebih banyak inisiatif pembangunan belia dan sukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuhkan pembangunan modal insan serta membuka potensi baharu termasuk dalam sektor pelancongan sukan.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Persekutuan itu akan melengkapkan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan belia dan industri sukan di Sabah.

“Sukan juga merupakan platform penting untuk memupuk perpaduan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Muhammed Taufiq Johari di Menara Kinabalu, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan serta Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Asun.

Dalam kunjungan itu, Dr Muhammed memaklumkan kementeriannya telah mengenal pasti beberapa program untuk memperkasakan pembangunan belia dan sukan di Sabah.

Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan pasaran khusus terutama melibatkan pelancongan sukan yang mampu memberi impak ekonomi kepada negeri.

Dr Muhammed turut memuji komitmen tinggi Sabah yang akan menghantar kontinjen seramai 200 peserta bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Negara di Negeri Sembilan pada pertengahan bulan ini.

Exit mobile version