Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tuntut hutang punca remaja dikelar di Penampang, suspek positif dadah ditahan di Kinarut

PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki warga asing datang menuntut baki hutang kerja membaiki paip dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan dikelar di bahagian leher dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, tengah hari kelmarin.

Suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas polis di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar, kira-kira jam 5.50 petang pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk bertemu kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang berkaitan kerja membaiki paip rumah.

“Mangsa ketika itu berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya kerana membantu menjaga kanak-kanak tersebut semasa kakak iparnya keluar bekerja,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang memegang sebilah pisau kerana menyiapkan makanan di dapur sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka.

“Suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia marah lalu bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher mangsa dan menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher,” katanya.

Selepas kejadian, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.

Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah bersama pegawai penyiasat kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami luka kelar di leher serta luka tetakan di bahagian kiri kepala.

Sammy berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu siasatan polis.

Exit mobile version