Site icon TUHAU BAMBANGAN

Remaja lelaki 15 tahun hantar gambar kemaluan kepada pelajar perempuan guna TikTok

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diberkas polis pada petang Rabu akibat melakukan perbuatan tidak bermoral dengan menghantar gambar kemaluan kepada seorang pelajar perempuan melalui aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam pada 29 April lalu ketika mangsa yang masih berusia 13 tahun berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Apas sebelum menerima mesej daripada suspek melalui akaun TikTok.

“Suspek bukan sahaja menghantar mesej berunsur lucah, malah turut bertindak menghantar gambar kemaluan kepada mangsa sehingga menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, susulan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Tawau menjalankan operasi dan menahan suspek berusia 15 tahun kira-kira jam 1.10 tengah hari di kawasan tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara, Tawau.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual, termasuk yang dilakukan melalui platform media sosial, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Sementara itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jenayah seksual siber.

Exit mobile version