Site icon TUHAU BAMBANGAN

Projek Pan Borneo WP25 babit flyover & bustop di Sukau dijadual siap pada Februari 2028

SUKAU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pakej kerja WP25 yang melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas serta pelbagai kemudahan keselamatan jalan raya di Sukau dijadualkan siap sepenuhnya pada Februari 2028, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu kini merekodkan kemajuan fizikal sekitar 12.35 peratus berbanding sasaran asal 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius sebarang kelewatan dan mahu penyelarasan segera antara semua agensi berkaitan dilaksanakan bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya semasa lawatan kerja meninjau kemajuan projek berkenaan pada Rabu.

Dalam lawatan itu, Hajiji singgah di tapak WP25 bagi sesi tinjauan, pemantauan serta taklimat projek ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).

Hajiji diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; selain pembantu-pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan.

Dalam taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau dimaklumkan WP25 melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan.

Antara komponen utama projek ialah pembinaan flyover, hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Beliau turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan perobohan struktur sedia ada yang menjejaskan kemajuan kerja.

Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama memperlahankan kerja tanah selain cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.

Selain WP25, Ketua Menteri turut menerima taklimat perkembangan pakej berhampiran, WP24, melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.

Bagi WP24, kemajuan fizikal setakat April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti supaya tidak menjejaskan garis masa pelaksanaan projek.

Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menghubungkan kawasan utama di Pantai Timur Sabah.

Exit mobile version