TAWAU: Seorang penjawat awam berusia 42 tahun ditahan polis di Lahad Datu selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian di Tanjung Batu Tengah, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Tawau di kawasan tepi Jalan Tungku, Felda Sahabat, semalam.
Menurutnya, kes berkenaan terbongkar susulan laporan mangsa, seorang wanita tempatan berusia 61 tahun, yang dibuat di Balai Polis Tawau pada 26 Mac lalu selepas mendapati rumahnya telah dimasuki individu tidak dikenali.
“Kejadian disedari mangsa selepas pulang ke rumah pada malam 25 Mac lalu sebelum mendapati jeriji besi jendela belakang rumah dirosakkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kes termasuk komputer riba, jam tangan, beg dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Jasmin menegaskan polis memandang serius jenayah pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

