Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Tiada kerusi di DUN”, tindakan USNO keluar GRS hanya lemahkan kedudukan parti – Iskandar

KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai tindakan yang hanya akan melemahkan kedudukan parti, khususnya dalam keadaan tidak mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan USNO, Iskandar Zulkarnain Ramli berkata, langkah meninggalkan kerajaan tanpa hala tuju pembangkang yang jelas bukan sahaja tidak bijak, malah berpotensi menjarakkan parti daripada peluang membantu rakyat dan membina semula kekuatan politiknya.

“Dalam keadaan USNO sendiri tidak mempunyai kerusi di Dewan Undangan Negeri, tindakan meninggalkan kerajaan tanpa hala tuju pembangkang yang jelas hanyalah akan melemahkan lagi kedudukan parti serta menjarakkan USNO daripada peluang membantu rakyat dan membina semula kekuatan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai tergesa-gesa dan lebih memudaratkan berbanding menguntungkan parti.

Menurut Iskandar, kerajaan pimpinan Hajiji Noor ketika ini mempunyai rekod kestabilan dan pencapaian yang lebih baik berbanding beberapa kerajaan terdahulu, sekali gus tidak wajar USNO bertindak keluar daripada GRS atas keputusan yang disifatkan bersifat peribadi.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa keputusan itu bukan dibuat secara sebulat suara apabila kehadiran 19 daripada 26 Ketua Bahagian bersama majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam sidang media baru-baru ini menunjukkan majoriti kepimpinan tidak bersetuju dengan hala tuju Presiden parti, Pandikar Amin Mulia.

“Ini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan biasa. Ini adalah isyarat politik yang sangat jelas bahawa Tan Sri Pandikar telah kehilangan keyakinan dan sokongan besar daripada pimpinan parti sendiri,” katanya.

Iskandar turut mendakwa sayap utama parti seperti Kaum Ibu dan Kumpulan Generasi Baru (KGB) tidak dibawa berbincang secara menyeluruh sebelum keputusan itu diumumkan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Pandikar wajar melepaskan jawatan Presiden USNO secara terhormat demi menyelamatkan masa depan parti serta membuka ruang kepada proses regenerasi kepimpinan yang lebih segar, inklusif dan diyakini ahli.

“Peralihan kepimpinan bukan penghinaan terhadap jasa seseorang pemimpin. Tetapi dalam politik, apabila keyakinan majoriti sudah mula hilang, keberanian untuk berundur secara terhormat adalah juga satu bentuk kepimpinan,” katanya.

Beliau menambah, USNO tidak boleh terus ditadbir dengan pendekatan terlalu tertumpu kepada keputusan individu, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang lebih demokratik serta memahami aspirasi akar umbi parti.

Exit mobile version