Site icon TUHAU BAMBANGAN

Usul ADUN Kapayan hanya bermotif politik, Pemberian Khas disasar meningkat kepada RM3 bilion – Armizan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mensasarkan peningkatan kadar pemberian khas daripada RM600 juta ketika ini kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun pada peringkat awal, selaras dengan usaha agresif memperjuangkan hak 40 peratus hasil negeri, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Ahli Parlimen Papar berkata, usaha tersebut digerakkan secara konsisten termasuk melalui rundingan dan tindakan perundangan.

“Kerajaan Negeri konsisten dalam menuntut hak 40% sama ada di dalam atau di luar DUN, termasuk di mahkamah. Kerajaan Negeri tegas, hak 40% adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini selepas sidang media taklimat status semasa projek pembangunan daerah Papar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penolakan usul persendirian ADUN Kapayan, Chin Tek Ming dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, yang menurutnya dibuat atas kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri.

Menurut Armizan, penolakan usul tersebut tidak harus disalah tafsir sebagai penolakan terhadap perjuangan tuntutan 40 peratus oleh kerajaan negeri.

“Penolakan usul persendirian di DUN bukan bermakna Dewan apatah lagi Kerajaan Negeri menolak perjuangan 40%. Persepsi ini perlu dibetulkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan pendirian kerajaan negeri turut diperincikan dalam Sidang DUN termasuk oleh Menteri Kewangan Sabah berhubung perkembangan rundingan, dengan sasaran peningkatan kadar pemberian khas secara signifikan.

Armizan turut menyifatkan usul yang dibawa ADUN Kapayan sebagai bermotif politik, termasuk cubaan memposisikan parti Warisan sebagai pejuang utama isu tersebut serta menutup kelemahan pentadbiran lalu.

Beliau mendakwa, antara kesilapan besar kerajaan Warisan pada 2019 ialah tidak bersetuju membawa tuntutan MA63 ke mahkamah serta meluluskan persetujuan kadar pemberian khas hanya RM53.4 juta melalui surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia.

“Kerajaan Negeri sedang bergerak dengan agresif menuntut hak, tidak masuk akal bagi ADUN-ADUN Kerajaan diminta menyokong usul peribadi ADUN Kapayan yang perjuangan mereka sekadar tegar mengelirukan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan berkata sekiranya semakan kadar baharu pemberian khas masih belum dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan menjelang Sidang DUN akan datang, pihaknya akan berbincang dengan ADUN penyokong kerajaan untuk membawa usul berkaitan hak 40 peratus.

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan merekodkan secara rasmi dalam Hansard DUN tindakan kerajaan Warisan pada 2019, termasuk minit mesyuarat Kabinet Negeri dan dokumen berkaitan persetujuan kadar RM53.4 juta.

“Kepada ADUN Kapayan, jangan khuatir kerana Kerajaan Negeri pimpinan YAB DSP Hajiji Haji Noor akan memperjuangkan kadar berbilion-bilion, dan bukannya hanya RM53.4 juta seperti kesilapan yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Armizan turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian serius terhadap tuntutan Sabah, susulan pengiktirafan terhadap hak 40 peratus yang telah dinyatakan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen sebelum ini.

Exit mobile version