Site icon TUHAU BAMBANGAN

Isteri Jamri koma di Vietnam dibawa pulang Sabah Jumaat ini – Azrul

KOTA KINABALU: Seorang wanita Sabah, Ruhana Joseph yang kini berada dalam keadaan koma di Vietnam, dijadualkan dibawa pulang ke tanah air bersama suaminya pada 1 Mei ini, dengan ketibaan dijangka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 6.20 petang.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam akan diiringi pasukan perubatan sepanjang penerbangan bagi memastikan keadaannya kekal stabil.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar segala urusan penerbangan dan kepulangan mangsa ke Sabah dipermudahkan.

Sebelum ini, Azrul memaklumkan beliau telah mengadakan panggilan video bersama suami mangsa, Mohd Jamri Herry bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isterinya yang dilaporkan koma ketika berada di negara berkenaan.

Menurutnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan jabatan berkaitan termasuk Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) untuk segera menyantuni mangsa dan suaminya sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka.

“Penyelarasan telah dibuat bagi menguruskan proses membawa pulang mangsa ke Kota Kinabalu, termasuk keperluan perubatan serta pengiring pakar sepanjang penerbangan, mengambil kira keadaan kesihatan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Jamri menerusi satu hantaran di Facebook menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri, Azrul serta Yayasan Kebajikan Sabah atas segala bantuan dan keprihatinan yang diberikan.

“Dalam saat kami diuji, kalian hadir membawa harapan dan kekuatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah SWT yang mampu membalas setiap kebaikan dan keikhlasan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada rakyat Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), ahli keluarga serta semua pihak yang tidak putus mendoakan dan menghulurkan bantuan.

Menurut Jamri, sokongan dan doa daripada semua pihak menjadi sumber kekuatan buat keluarganya ketika berdepan ujian tersebut.

“Kami memohon agar semua terus mendoakan isteri saya, Ruhana agar dikurniakan kesembuhan, diangkat segala kesakitan dan dipermudahkan setiap urusannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kisah Jamri yang diuji apabila isteri tercinta, diserang sawan hingga koma dan dimasukkan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam.

Ruhana diserang sawan sebelum solat Subuh kira-kira jam 4 pagi, 21 April lalu iaitu pada hari dia dan suami dijadualkan berangkat pulang ke tanah air selepas lima hari bercuti.

Exit mobile version