Site icon TUHAU BAMBANGAN

Unit khas ekonomi kreatif, e-Sukan fokus baharu perkasa ekonomi belia Sabah – Nizam

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE) akan mewujudkan unit khas bagi merancang dan melaksanakan program ekonomi kreatif, dengan tumpuan khusus kepada bidang e-Sukan sebagai pemacu baharu menjana pendapatan stabil dalam kalangan belia Sabah.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penubuhan unit berkenaan adalah langkah strategik bagi memastikan golongan muda dapat memanfaatkan peluang dalam industri kreatif yang semakin berkembang, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi belia negeri ini.

“Fokus utama kementerian adalah mewujudkan unit khas bagi merancang program ekonomi kreatif, terutamanya dalam bidang e-Sukan, bagi memastikan golongan belia dapat menjana pendapatan yang lebih stabil dan berterusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, hari ini.

Menurut beliau, kementerian turut komited memenuhi permintaan belia terhadap latihan kemahiran dalam pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk digital, minyak dan gas, pertanian moden serta ekonomi gig, selaras dengan keperluan pasaran semasa.

Katanya, sektor-sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, logistik, pelancongan, perikanan dan perusahaan kecil juga dikenal pasti berpotensi besar dalam memperkasa ekonomi belia serta meningkatkan taraf hidup mereka.

Dalam pada itu, Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha menjadikan Sabah sebagai “Negeri Sukan” akan terus dipergiat melalui peningkatan fasiliti serta pelaksanaan program pembangunan atlet secara berterusan.

“Ini sejajar dengan sasaran kementerian untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan pada masa sama melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan belia juga terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program kepimpinan seperti Felo SMJ, DUN Belia, Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) serta Sukarelawan SMJ yang terbukti memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan generasi muda.

“Saya yakin, dengan sokongan padu semua pihak, ekonomi belia akan terus meningkat dan imej sukan Sabah akan terus dijulang,” katanya.

Exit mobile version