KOTA KINABALU: Seramai empat lelaki tempatan telah ditahan pihak polis disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel serta cubaan membunuh dalam satu kejadian di kawasan Lido, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.19 pagi apabila sepasukan anggota ronda cegah jenayah Zon 3 Luyang menerima maklumat berhubung aktiviti kecurian kabel berhampiran Merdeka Supermarket Lido.
Katanya, pasukan polis yang tiba di lokasi mendapati sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan tersebut sebelum kesemua suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.
“Berlaku aksi kejar-mengejar sehingga ke kawasan berhampiran Rugading, di mana suspek bertindak memandu secara melawan arus serta berbahaya dan cuba melanggar kenderaan polis beberapa kali.
“Dalam usaha melarikan diri, kenderaan suspek telah melanggar sebuah kenderaan orang awam yang mengakibatkan pemandunya turut mengalami kecederaan.
“Seramai empat suspek berusia antara 28 hingga 43 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi masih diburu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Syed, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel, termasuk alat pemotong, chain blovk, besi yang diubah suai serta gulungan kabel.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel.
Syed berkata, usaha mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dilaksanakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

