KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghargai sumbangan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Sandakan, baru-baru ini.
Sumbangan itu diserahkan Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri di Bilik Danum Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Dalam kunjungan hormat itu, Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada KPWKM atas keprihatinan kementerian itu menerusi agensinya, Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih atas keperihatinan KPWKM menyerahkan sumbangan bantuan untuk membantu mangsa kebakaran di Sandakan,” katanya.
Turut hadir Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag Shaminan Ag Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron.

