Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keputusan USNO kelua GRS dipertikai, Ibrahim dakwa bukan sebulat suara

KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan dibuat secara sebulat suara, sebaliknya dipertikai sebahagian kepimpinan parti.

Timbalan Presiden USNO, Datuk Ibrahim Linggam berkata, langkah yang diumumkan Presiden parti, Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu disifatkan sebagai terburu-buru dan tidak mencerminkan pandangan keseluruhan kepimpinan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat tanpa pertimbangan menyeluruh terhadap kesannya kepada ahli-ahli parti, malah ramai dalam kalangan mereka dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan keluar daripada gabungan berkenaan.

“Majlis Eksekutif Tertinggi USNO terdiri daripada 37 ahli, namun hanya 18 orang hadir dalam mesyuarat pada 22 April lalu. Oleh itu, tidak tepat untuk dikatakan keputusan itu dibuat secara bulat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau mendakwa ramai ahli majlis yang tidak hadir tidak menyokong keputusan tersebut, selain menegaskan sokongan terhadap GRS masih kukuh dalam kalangan pemimpin parti di peringkat pusat dan bahagian.

Ibrahim turut menegaskan bahawa tindakan Pandikar Amin meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua GRS adalah keputusan peribadi mengikut kuota parti.

“Kami menghormati keputusan itu, namun kami kekal menyokong GRS dan tidak bersetuju USNO keluar daripada gabungan tersebut,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa wujud unsur tekanan dalam proses membuat keputusan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa ahli diminta menandatangani surat sokongan atau berdepan risiko kehilangan jawatan.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa prinsip demokrasi dalam parti perlu terus dipelihara dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Walaupun presiden berhak membuat keputusan, suara pemimpin lain juga perlu diambil kira,” katanya.

Ibrahim menambah, hubungan antara USNO dan GRS masih baik tanpa sebarang pertikaian besar, malah perbezaan pandangan yang timbul boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Beliau turut berharap hubungan kedua-dua pihak terus diperkukuh dengan memberi keutamaan kepada pembangunan Sabah.

Exit mobile version