Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tanpa inovasi, parti boleh lemah, tidak berkembang & jatuh – Masidi

KOTA KINABALU: Kegagalan melakukan pembaharuan dan inovasi dalam pengurusan parti boleh menyebabkan sesebuah organisasi politik menjadi lemah, tidak berkembang dan akhirnya jatuh, kata Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri; Menteri Kewangan Sabah serta Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa inovasi berterusan dan perancangan masa depan parti adalah kunci bagi memastikan kelangsungan serta kekuatan gabungan itu dalam menghadapi cabaran politik mendatang.

“Perancangan masa depan parti perlu diberi keutamaan, termasuk melahirkan pelapis kepimpinan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya ketika berucap dalam Taklimat Khas kepada Ketua-Ketua Bahagian serta kepimpinan Wanita, Pemuda dan Beliawanis peringkat negeri di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Menurut beliau, pengurusan parti yang tersusun dan sistematik amat penting bagi memastikan struktur kepimpinan di semua peringkat, termasuk bahagian dan akar umbi, kekal kukuh serta berfungsi dengan berkesan.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menekankan kepentingan konsep kepimpinan berpasukan sebagai asas utama penstrukturan parti.

“Setiap bahagian perlu bergerak sebagai satu pasukan kepimpinan yang bersatu bagi memperkukuh parti secara keseluruhan, bukan hanya bergantung kepada nama parti atau individu tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan perancangan rapi, inovasi berterusan serta pasukan kepimpinan yang mantap, parti akan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dan mampu menangani cabaran dengan lebih berkesan.

“Pembaharuan serta inovasi dalam mengurus parti harus menjadi proses berterusan bagi memastikan Gagasan Rakyat terus relevan sepanjang zaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan beberapa parti politik besar sebelum ini yang berpunca daripada kegagalan melakukan pembaharuan dalam pengurusan.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Datuk Masiung Banah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Mohamed Razali Razi serta tetamu kehormat lain.

Exit mobile version