Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Maaflah, kami tidak bawa HP untuk ‘live’ buktikan kami sedang berlawan panas api” – Luahan abang bomba

SANDAKAN: “Dari awal kejadian kami sudah di dalam kebakaran api rumah, tapi maaflah kami tidak bawa HP untuk buat ‘live’ dan buat konten-konten untuk membuktikan kami sedang berlawan menahan panas api yang sedang membakar rumah,” demikian luahan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi, yang memusnahkan lebih 1,000 rumah baru-baru ini.

Anggota dikenali sebagai Jeff RKS itu tampil menjelaskan situasi sebenar di lapangan susulan tular video seorang individu yang juga mangsa kebakaran, yang mendakwa pasukan bomba tidak hadir membantu memadam api di kediamannya.

Menurutnya, pasukan bomba telah berada di lokasi sejak awal kejadian dan bertungkus-lumus mengawal api dalam keadaan yang amat mencabar, termasuk mempertaruhkan keselamatan diri.

“Kami cuba sedaya upaya untuk selamatkan semua rumah supaya semua orang boleh senang hati. Tapi kami juga manusia biasa, keselamatan kami pada masa itu pun sudah tidak dihiraukan,” katanya, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekangan bekalan air serta keperluan menggunakan semua peralatan sedia ada bagi mengekang kebakaran daripada terus merebak.

“Kami berusaha mencari akses air dari IOI supaya sampai ke semua tempat, namun keadaan terhad apabila semua hos dan pam sudah digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang turut membantu sepanjang operasi dijalankan.

“Terima kasih kepada orang-orang kampung yang tidak putus-putus membantu kami. Semoga mereka menjadi saksi di padang mahsyar nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeff berkata segala tohmahan yang diterima adalah sebahagian daripada cabaran sebagai anggota bomba yang sentiasa berdepan risiko dalam menjalankan tugas.

“Kami sudah cuba yang terbaik, selebihnya kita serahkan kepada ketentuan Allah SWT. Banyak yang mahu diluahkan, tapi cukuplah. Biasalah, bukan bomba namanya kalau tidak tahan maki,” katanya.

Exit mobile version