LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang dan dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, di sini, pada Ahad.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa dikatakan sedang mandi-manda di tepi pantai sebelum disambar reptilia berkenaan dan diseret ke dalam laut.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 10.27 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 74 kilometer dari balai.
Pemangku Ketua BBP Lahad Datu, PBK I Mohd Hamka Mustamin, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini dengan kerjasama pelbagai agensi.
“Pasukan bomba bersama agensi lain telah menjalankan operasi SAR dengan menyusuri pesisir pantai menggunakan bot dalam radius kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya.
“Operasi turut melibatkan kerjasama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, operasi hari kedua dimulakan dengan taklimat bersama pihak polis pada jam 9.35 pagi sebelum gerakan mencari dilancarkan pada jam 9.55 pagi.
Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui setakat operasi ditangguhkan pada jam 5.15 petang dan akan disambung semula pada esok hari.
Operasi SAR melibatkan empat anggota BBP Lahad Datu dengan penggunaan sebuah bot EMRS, selain kekuatan tambahan daripada tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh anggota APM dan empat anggota Jabatan Hidupan Liar.
Perkembangan lanjut operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

