Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kg Bahagia bakal dibangunkan semula, fokus penempatan sah & terancang

SANDAKAN: Kerajaan Negeri bercadang membangunkan semula Kampung Bahagia, Batu Sapi sebagai sebuah perkampungan sah susulan kebakaran besar yang memusnahkan hampir 1,000 rumah di kawasan berkenaan, Ahad lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kawasan itu sebelum ini merupakan penempatan pelarian di bawah UNHCR yang telah dikeluarkan, justeru kerajaan melihat keperluan untuk membangunkannya secara lebih tersusun dan sah.

“Cadangan termasuk menimbus kawasan ini untuk kita bangunkan rumah nanti, namun ini melibatkan kos yang agak besar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian serta menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, pada Isnin.

Menurut beliau, keputusan lanjut berhubung pembangunan semula akan dibuat selepas menerima laporan lengkap daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan segera kepada mangsa sebagai langkah awal meringankan beban mereka.

Katanya, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan sebanyak RM2,000 yang merangkumi RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

“Kita berharap bantuan ini akan dapat membantu mereka dalam keadaan sekarang,” katanya.

Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kebakaran tersebut sebagai antara yang terbesar pernah berlaku di kawasan penempatan itu dengan tahap kemusnahan yang sangat tinggi, hampir melibatkan keseluruhan kampung.

Beliau turut memaklumkan bahawa laporan penuh mengenai jumlah sebenar mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu, dengan anggaran awal menunjukkan kira-kira 70 peratus mangsa terdiri daripada bukan warganegara dan selebihnya warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bantuan akan terus diberikan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan.

Sehingga kini, enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran.

Kerajaan Negeri, katanya, komited untuk memastikan kebajikan semua mangsa terus terpelihara selain mencari penyelesaian terbaik termasuk pembangunan semula kawasan secara lebih selamat dan terancang.

Exit mobile version