Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah FC rangkul kejuaraan, dapat bonus RM700,000 dari kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Sabah FC rangkul kejuaraan MFL Challenge Cup 2026 selepas menewaskan Penang FC menerusi sepakan penalti 4-3 di Stadium Likas, malam tadi, sekali gus menerima ganjaran keseluruhan RM700,000 daripada Kerajaan Negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kemenangan tersebut merupakan detik bersejarah buat bola sepak negeri selepas penantian panjang untuk kembali menjulang trofi dalam saingan domestik.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sabah FC atas kejayaan ini. Ia merupakan satu detik yang amat bermakna buat bola sepak Sabah selepas penantian yang panjang untuk melihat pasukan negeri kembali menjulang trofi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.

Menurutnya, perlawanan akhir yang berlangsung penuh debaran itu memperlihatkan ketahanan mental, disiplin serta semangat juang tinggi kedua-dua pasukan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang hadir memenuhi Stadium Likas dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan.

“Sokongan padu ini jelas menjadi antara faktor penting yang menyuntik semangat kepada pasukan di saat-saat genting,” katanya.

Sementara itu, Hajiji Noor turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Sabah FC dan memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju memberikan bonus kemenangan sebanyak RM500,000 kepada pasukan.

Dalam pada itu, kementerian diterajui Nizam turut menyalurkan insentif tambahan sebanyak RM200,000 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang tersebut.

Nizam berkata, kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak negeri secara berterusan serta memberi inspirasi kepada generasi muda Sabah untuk terus aktif dalam sukan.

“Kerajaan negeri melalui kementerian ini akan terus komited menyokong usaha memperkasa pembangunan sukan, selaras dengan aspirasi melahirkan lebih ramai bakat berpotensi dari negeri ini,” katanya.

Exit mobile version