KOTA KINABALU: Seramai 80 suspek sindiket pusat panggilan (calling centre) berpangkalan di Tawau didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, semalam atas penglibatan dalam kegiatan penipuan atas talian.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Abdul Rani Alias berkata, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 22 individu turut didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen manakala seorang lagi di bawah Seksyen 5(1)(c) akta sama.
“Mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada 78 warga China serta masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos berusia antara 17 hingga 45 tahun.
Katanya, mereka ditahan dalam serbuan pada 7 April lalu di sebuah pusat peranginan di Tawau hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil daerah Tawau, Sandakan dan Keningau.
“Siasatan mendapati premis berkenaan dijadikan sebagai pusat panggilan untuk menjalankan penipuan atas talian dengan menyamar sebagai pegawai polis luar negara yang menyasarkan warga asing di luar Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek dipercayai memasuki Sabah menggunakan Pas Lawatan Sosial dan telah menjalankan kegiatan itu selama lebih tiga bulan.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk tiga set komputer, 36 telefon bimbit, 15 skrip penipuan dalam bahasa Mandarin, lapan salinan nombor telefon serta tiga pasang pakaian seragam pegawai polis luar negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah penipuan atas talian dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

