Site icon TUHAU BAMBANGAN

Projek Air Luar Bandar Sabah bernilai RM4.06 bilion diserah kepada negeri, pelaksanaan dipercepat

KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah bernilai RM4.06 bilion diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan, sekali gus memastikan manfaat dapat dinikmati masyarakat luar bandar dengan lebih pantas dan berkesan.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju menyerahkan pelaksanaan projek BALB kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut kenyataan itu, bagi tahun 2026, sebanyak 83 projek baharu dan sambungan telah diluluskan dengan peruntukan RM143 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Langkah ini diambil bagi memperkasa peranan Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepat pelaksanaan projek serta memastikan penyampaian yang lebih berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan hari ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Zahid Hamidi bagi memastikan proses penyerahan projek berjalan lancar antara KKDW, agensi pusat dan Kerajaan Negeri Sabah.

KKDW menegaskan, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih kukuh dan menyeluruh di Sabah.

Exit mobile version