Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki melecur dalam kebakaran 8 rumah di Kg Gumpa, Kudat

KUDAT: Seorang lelaki berusia 46 tahun melecur di bahagian bahu belakang dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Gumpa, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.38 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan keseluruhan lapan buah rumah, masing-masing lima rumah jenis separuh kekal terbakar 90 peratus, dua rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, manakala sebuah rumah kekal hanya mengalami kerosakan sekitar 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Satria dan dua motosikal yang terbakar sepenuhnya.

Beliau berkata, mangsa lelaki berkenaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian sebelum tindakan lanjut diambil.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 25 anggota terdiri daripada BBP Kudat dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air Kudat dengan bantuan agensi lain termasuk SESB, APM dan PDRM.

“Pasukan bomba menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan sepanjang 300 kaki sumber air daripada jentera dan pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.47 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang.

Exit mobile version