PENAMPANG: Seorang wanita tempatan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh dua pelanggan di sebuah premis makanan di Jalan Papar Lama, Up Town Nambazan, pada 14 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, kejadian kira-kira jam 5.27 petang itu melibatkan dua buah kenderaan seperti yang tular menerusi video berdurasi 43 saat di media sosial.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan yang dipandu wanita tempatan yang sedang mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di belakangnya.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai telah tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan naik ke kaki lima premis makanan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan dua pelanggan yang berada di lokasi hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Tambahnya, kedua-dua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kes disiasat di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang telah tular di media sosial,” katanya.

