LAHAD DATU: Daerah ini telah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai untuk pembangunan tapak pelancaran roket dan satelit di Asia Tenggara berdasarkan kajian akhir yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dapatan kajian itu meletakkan daerah berkenaan sebagai pilihan terbaik berbanding beberapa lokasi lain yang turut melobi bagi projek berimpak tinggi tersebut.
“InsyaAllah dalam beberapa tahun akan datang. kalau tiada aral melintang. Lahad Datu inilah yang terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket satelite daripada sebelah Asia Tenggara.
“Jadi ini berlaku dalam dua tiga tahun akan datang, Lahad Datu akan dikunjungi oleh ramai pelancong termasuk saintis-saintis angkasa akan datang ke daerah ini. Ini sudah pasti akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Lahad Datu,” katanya sempena Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, banyak negeri telah melobi untuk menjadi lokasi tapak pelancaran satelit, namun hasil kajian menunjukkan Lahad Datu mempunyai kelebihan paling ketara untuk tujuan tersebut.
“Banyak negeri yang melobi untuk jadi tempat ini (tapak pelancaran satelit), tetapi petunjuk atau kajian mendapati bahawa Lahad Datu adalah tempat yang paling sesuai untuk projek ini,” katanya.
Menurutnya, pembangunan projek itu bukan sahaja akan membawa kemajuan infrastruktur, malah berpotensi merangsang ekonomi tempatan melalui kehadiran pelabur, pelancong dan komuniti saintifik antarabangsa.
Ketua Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan di Lahad Datu berjalan seiring dengan peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Saya sebenarnya mempunyai keinginan beberapa kali untuk melawat Lahad Datu, terutama sebelum pilihan raya lalu. Tetapi oleh beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan, saya tidak dapat berkempen di sini. Tidak apa, kita ada lagi pilihan raya Parlimen tahun depan.
“Apa yang penting, saya mahu rakyat kita di sini bersatu hati, pilih parti kerajaan untuk kebaikan kita. Sebab kerajaan negeri sekarang ini telah pun melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah. Kita ada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan banyak yang berjaya kita buat di negeri ini.
“Jangan kita dengar fitnah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai umat Islam kita mesti berpegang kepada kebaikan dan kebenaran. Apa yang dibuat oleh kerajaan mesti dinyatakan kepada rakyat. Saya minta juga agar rakyat tidak mudah percaya dengan segala tuduhan, tohmahan dan fitnah yang pastinya akan merugikan kita sendiri,” katanya.

