Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dua kereta musnah dijilat api dalam kebakaran stor di Papar

PAPAR: Dua buah kenderaan musnah hampir keseluruhan selepas dijilat api dalam kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan barangan rumah di kawasan berhampiran Taman Seri Kinarut South, Kinarut, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.59 petang itu, kebakaran melibatkan sebuah Proton Persona dan sebuah Toyota Hardtop AE70 yang masing-masing terbakar kira-kira 90 peratus, manakala stor berkeluasan 6×7 kaki turut musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan 11 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 6.30 petang, didapati kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan barangan rumah yang terbakar 100 peratus dan dua buah kenderaan yang terbakar hampir keseluruhan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.34 malam.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Operasi diketuai PBK II Hamdani Harith selaku Komander Operasi, dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti jenis VIGO.

Exit mobile version