KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri menghadiri Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Ketua Menteri tiba kira-kira jam 10.08 pagi, disusuli keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin.
Majlis anjuran Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Kadzim Yahya; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong; serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Mohd Razali Wahab bersama menteri-menteri kabinet negeri.
Pada majlis sama, Yang di-Pertua Negeri bersama isteri turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu di Beringgis sebelum memotong kek sempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau.

