LAHAD DATU: Taktik menyembunyikan dadah jenis syabu seberat lebih 50 gram dalam sebuah beg kecil terbongkar apabila tiga lelaki tempatan diberkas dalam serbuan polis di Kampung Ulang-Ulang, Tungku, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbahrin berkata, serbuan menerusi Op Tapis itu dijalankan kira-kira jam 9.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Lahad Datu.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 51.65 gram yang disembunyikan dalam beg kecil berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.
Katanya, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

