Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah perkukuh sektor tenaga, TotalEnergies rancang pelaburan jangka panjang

KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan minat TotalEnergies untuk mewujudkan kehadiran jangka panjang di negeri ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab strategik dalam sektor tenaga serantau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki potensi besar dalam penerokaan laut dalam yang masih belum diterokai sepenuhnya dan memerlukan kerjasama rakan kongsi berkeupayaan teknikal tinggi bagi merealisasikan potensi tersebut.

“Sabah berhasrat bekerjasama dengan pelabur bereputasi bagi membawa kepakaran dalam penerokaan laut dalam serta pengeluaran yang cekap dan mampan untuk memaksimumkan potensi sektor huluan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

TotalEnergies, syarikat tenaga global dari Perancis, merupakan antara pemain utama dunia dengan portfolio kukuh dalam gas asli cecair (LNG) dan sektor huluan yang berkembang di peringkat antarabangsa.

Dalam pertemuan itu, Saniez memaklumkan syarikat berkenaan kini terlibat dalam aktiviti penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah dengan pegangan kepentingan sebanyak 34.9 peratus bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell.

Selain itu, TotalEnergies turut terlibat dalam lima lagi blok luar pesisir Sabah serta mempunyai kepentingan dalam aset gas utama di luar pesisir Sarawak.

Saniez berkata, pihaknya yakin Sabah merupakan destinasi pelaburan seterusnya yang strategik berdasarkan potensi luar pesisir yang besar, peningkatan permintaan gas, dasar mesra pelabur serta sokongan kukuh daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Perundangan TotalEnergies EP Malaysia, Solpiee Sahmat serta wakil Serantau Dewan Perdagangan dan Industri Perancis Malaysia (CCI) Sabah, Jacques Leizerovici.

Exit mobile version