KOTA KINABALU: Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila mara ke pentas akhir MFL Challenge Cup 2026, dengan aksi penentuan dijadual berlangsung pada 19 April ini di Stadium Likas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian itu amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak negeri selepas sekian lama Sabah tidak menjulang trofi dalam saingan liga tempatan.
“Jika kita berjaya muncul juara, ini bermakna Sabah telah memecahkan kemarau panjang kejuaraan bola sepak negara yang sudah sekian lama dinantikan,” katanya.
Perlawanan akhir itu dimainkan secara timbal balik, dengan aksi pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1, manakala aksi penentuan akan berlangsung di gelanggang sendiri.
Dalam usaha menyuntik semangat penyokong, kerajaan negeri akan mengagihkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada peminat secara ‘first come, first serve’, dengan pengagihan dilaksanakan di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini.
“Ini adalah tanda sokongan bagi memastikan stadium dipenuhi dan memberi semangat kepada pasukan. Saya menyeru penyokong agar turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir itu sebagai tanda komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak.
Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian bonus kepada pasukan sekiranya Sabah FC berjaya muncul juara sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Mengulas isu ketiadaan perkampungan sukan seperti diumumkan kerajaan Persekutuan, Nizam berkata pihaknya menyokong pendekatan pemberian subsidi RM100 kepada atlet dan pegawai sebagai langkah perbelanjaan berhemah dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
Katanya, walaupun pendekatan perbelanjaan sederhana diambil, ia tidak akan menjejaskan semangat serta komitmen atlet untuk terus memberikan prestasi terbaik di pentas akhir.

