TONGOD: Harga bahan api di seluruh negara berkemungkinan diseragamkan sekiranya konflik di Asia Barat terus memuncak dan memberi tekanan kepada ekonomi global, kata Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, pendekatan mengekalkan subsidi minyak secara menyeluruh tidak lagi mampan dalam jangka panjang memandangkan keupayaan kewangan kerajaan mempunyai had tertentu, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu, sekiranya krisis ekonomi global berpanjangan serta ketegangan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat atau Israel semakin memuncak, tidak mustahil harga petroleum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan diseragamkan.
“Peningkatan harga minyak dunia akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, terutama melalui kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk barangan import,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis kesyukuran pasca pilihan raya umum negeri (PRN-17) serta sambutan Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak, baru-baru ini.
Masiung turut menjangkakan subsidi minyak bagi Sabah dan Sarawak berkemungkinan dibekukan sekiranya kedudukan kewangan kerajaan semakin terhad.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat di negeri ini agar bersiap siaga menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup, selain mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat.
“Semua lapisan masyarakat perlu menyesuaikan gaya hidup dengan keadaan semasa kerana tekanan ekonomi global adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan anggaran semasa menunjukkan kos subsidi petrol dan diesel di seluruh negara kini mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan, berbanding sekitar RM700 juta sebelum tercetusnya krisis tenaga global.
Katanya, bagi Sabah dan Sarawak sahaja, kos subsidi dianggarkan sekitar RM383 juta sebulan.
Sementara itu, harga bahan api di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 9 hingga 15 April menunjukkan peningkatan, dengan RON95 ditetapkan pada RM4.17 seliter dan RON97 pada RM5.35 seliter, masing-masing naik 40 sen.
Harga diesel di Semenanjung pula meningkat kepada RM6.72 seliter, melonjak sebanyak 70 sen.
Bagaimanapun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, manakala RON95 di bawah skim subsidi BUDI kekal pada RM1.99 seliter.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Tokyo Hashim Omar bersama lebih 400 penduduk setempat.

