Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dua individu meninggal dunia, motosikal ditunggang langgar belakang Proton ketika ‘U-Turn’ di jalan UMS

KOTA KINABALU: Dua individu dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar bahagian belakang sebuah Proton Saga yang sedang membuat pusingan U dalam kejadian di Jalan UMS berhampiran Mini Putrajaya, pada awal pagi Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki dua mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan terbabit yang berada di lorong tengah selepas melakukan pusingan U.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.

“Siasatan awal mendapati Proton Saga yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun itu sedang bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra sebelum membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya dan meneruskan perjalanan.

“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui, dan usaha mengesan waris sedang giat dijalankan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Mayat mangsa katanya, telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami kecederaan, manakala kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Penunggang motosikal turut diingatkan supaya tidak menunggang secara berbahaya atau berkumpulan dalam keadaan laju yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Exit mobile version