Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sindiket diesel bersubsidi tewas, KPDN Sabah rampas lebih RM22,000 dalam Ops Tiris 4.0

KOTA KINABALU: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merampas bahan api dan peralatan bernilai lebih RM22,000 menerusi Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 12.05 tengah hari itu hasil risikan Unit Risikan KPDN Sabah, yang membawa kepada penahanan dua individu tempatan berusia lingkungan 30-an serta penemuan dua kenderaan disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan terbabit, masing-masing sebuah Isuzu Trooper dan van Toyota Lite Ace, telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, dengan anggaran 800 liter diesel setiap satu.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang telah diubah suai, dipercayai untuk tujuan pengumpulan serta pengedaran diesel bersubsidi secara tidak sah.

Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barang kawalan termasuk buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel.

“Ketidakupayaan mereka mengemukakan dokumen yang sah menguatkan elemen kesalahan, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi kes pertama, rampasan melibatkan sebuah Isuzu Trooper, tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta diesel dengan nilai keseluruhan RM12,695.

“Manakala bagi kes kedua, rampasan melibatkan sebuah van Toyota Lite Ace bersama tangki IBC, dua unit pam elektrik, hos getah serta diesel dengan nilai keseluruhan RM10,050.

“Secara keseluruhan, jumlah rampasan bagi kedua-dua kes adalah RM22,745, sekali gus membuktikan ketegasan KPDN dalam membanteras ketirisan subsidi negara,” katanya.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana ia menjejaskan kepentingan rakyat serta ekonomi negara.

“Kami memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar mematuhi sepenuhnya undang-undang dan tidak menyalahgunakan subsidi yang disediakan kerajaan. Tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 serta aplikasi Ez ADU KPDN bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

Exit mobile version