KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan keutamaan mesti diberikan kepada pelaksanaan segera projek-projek kecil berimpak tinggi atau low-hanging fruit bagi memastikan manfaat dapat dinikmati rakyat tanpa sebarang kelewatan.
Beliau berkata, projek yang mudah dilaksanakan khususnya melibatkan kemudahan asas seperti pendidikan dan hospital perlu dipercepatkan pelaksanaannya, selain dipantau secara rapi bagi mengelakkan ia menjadi projek sakit atau lewat jadual.
“Projek-projek kecil ini perlu dilaksanakan dengan cekap, pantas, mengikut jadual dan penuh integriti agar ia dapat segera dinikmati rakyat negeri Sabah.
“Tidak sewajarnya projek dalam kategori ini mengalami kelewatan, yang lazimnya berpunca daripada isu setempat seperti pemilikan tanah, utiliti dan peruntukan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, berdasarkan laporan MyProjek, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melibatkan 1,233 projek dan program, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri bergerak seiring aspirasi Kerajaan MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Hajiji turut menekankan keperluan pemantauan yang lebih kerap oleh semua agensi pelaksana bagi memastikan setiap projek berjalan lancar dan isu pelaksanaan dapat ditangani segera melalui saluran yang tepat termasuk agensi pusat dan kerajaan negeri.
Beliau berkata, penekanan terhadap pelaksanaan projek berimpak segera turut selari dengan saranan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang mahu projek kecil yang memberi kesan langsung kepada rakyat disegerakan pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 akan terus diperkasa sebagai kesinambungan agenda SMJ, dengan fokus utama memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Dengan pelaksanaan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, pembasmian kemiskinan menjadi tonggak utama, disokong oleh peruntukan belanjawan negeri berjumlah RM12.02 bilion tahun ini.
“Sebahagian besar dana ini disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh negeri,” katanya.
Tambah beliau, pelaporan berkala mengenai projek-projek tertangguh juga penting bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus mengelakkan peningkatan kos dan kerugian kepada kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak berkepentingan terus komited dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap projek pembangunan, khususnya projek berimpak segera, dapat dilaksanakan dengan cekap, telus dan memberi manfaat terus kepada rakyat Sabah.

