Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan tempatkan anggota polis di stesen minyak sempadan, banteras ketirisan bahan api – Armizan

KOTA KINABALU: Kerajaan memperluaskan penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu sebagai peluasan kepada penugasan statik penguat kuasa KPDN yang telah dilaksanakan sejak bulan lalu.

“Penempatan anggota Polis di stesen minyak merupakan peluasan kepada penugasan statik penguat kuasa KPDN yang telah dilaksanakan sebelum ini. Ia penting bagi memperkukuh kawalan di kawasan sempadan dan berisiko tinggi dalam mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan,” katanya ketika ditemui media selepas program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini, hari ini.

Menurut beliau, langkah itu diambil susulan peningkatan risiko ketirisan petrol dan diesel akibat krisis tenaga global yang turut memberi tekanan kepada rantaian bekalan.

Sejak 20 Mac lalu, KPDN telah melaksanakan penugasan secara berkala di stesen minyak sekitar kawasan sempadan di seluruh negara, sebelum keperluan peluasan dikenal pasti melalui laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan.

“Fasa pertama melibatkan 87 stesen minyak telah dilaksanakan dari 20 Mac hingga 10 April 2026. Kita akan teruskan dengan 70 stesen tambahan dalam fasa kedua bermula minggu depan yang turut melibatkan anggota PDRM,” katanya.

Armizan menjelaskan, penglibatan PDRM amat penting mengambil kira kekangan sumber penguat kuasa KPDN selain keperluan pemantauan lebih rapi terhadap status bekalan dan harga barang di seluruh negara.

Beliau berkata, krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik Asia Barat berpotensi memberi kesan rantaian kepada bekalan makanan dan barangan, khususnya melibatkan sumber import.

“Sebab itu kita ambil pendekatan lebih tegas dan bersasar, termasuk mempertimbangkan penglibatan sukarelawan RELA bagi membantu pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata program i-FB yang dilaksanakan KPDN terus menjadi platform penting dalam menyantuni komuniti setempat, selari dengan usaha kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di tengah cabaran kos sara hidup.

“Kita bukan sahaja fokus kepada penguatkuasaan, tetapi juga memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian melalui inisiatif seperti i-FB,” katanya.

Exit mobile version