KOTA KINABALU: Tahap pengisian guru di Sabah kini mencapai 98.22 peratus dengan majoriti daripadanya terdiri daripada anak tempatan, sekali gus memastikan kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri.
Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam memperkukuh sumber manusia pendidikan.
“Lebih membanggakan, sebanyak 86.75 peratus daripada jumlah guru yang ditempatkan di Sabah adalah dalam kalangan anak tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi SPP yang diketuai oleh Adzman Talib di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali bersama pegawai kanan kementerian.
Dalam sesi taklimat, SPP memaklumkan bahawa pencapaian pengisian guru tersebut bukan sahaja memastikan keperluan tenaga pengajar mencukupi, malah menyokong operasi sekolah secara lebih stabil dan berkesan.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan termasuk pelantikan dan penempatan guru serta keperluan memperkukuh bidang kritikal, khususnya dalam sektor sains, teknologi dan inovasi.
James berkata, usaha memperkasa pendidikan negeri akan terus diperkukuh melalui pendekatan bersepadu yang menumpukan kepada pembangunan bakat tempatan dan peningkatan kualiti tenaga pengajar.
Sementara itu, SPP menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang lebih efisien dan responsif.
Kunjungan tersebut turut memperkukuh penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan sistem pendidikan Sabah terus maju, inklusif serta relevan dengan keperluan semasa.

